Ini bukannya pertama kali Thiago Silva menuduh Lionel Messi mempengaruhi pengadil. Malah sebelum ini beliau turut menyebut perkara yang sama selepas aksi separuh akhir Copa America 2019.
Silva ketika itu bengang apabila Messi menuduh pengadil pilih kasih dan mahu membantu Brazil menjadi juara Copa America.
Messi yang marah menganggap Copa America satu korupsi dan kemudiannya enggan bermain dalam penentuan tempat ketiga.
Thiago Silva ketika itu berkata: “Sukar nak memberikan komen tentang apa yang Messi tuduh. Kami kecewa mendengarnya. Kadangkala apabila kalah, kita fokus nak cari kesalahan orang lain.”
“Rasanya, Messi tak cakap apa-apa tentang keputusan pengadil ketika kami kalah 6-1 kepada Barcelona. Ketika itu beliau banyak sekali mempengaruhi keputusan pengadil, yang pada pandangan saya, itu tidak masuk akal.”
“Namun tak seorang pun pemain PSG memberikan komen bahawa pengadil berat sebelah menyebelahi Barcelona. Ini kerana kamu kena tunjukkan rasa hormat kepada lawan kamu.”
“Brazil tak akan suka-suka ada 5 bintang pada jersi (hasil kemenangan Piala Dunia), dan tak satu pun daripadanya adalah hasil rompakan. Semuanya kerana aksi di atas padang.”
Selepas aksi Julai lalu, Brazil dan Argentina bertemu kembali dalam aksi Superclasico di Arab Saudi.
Lionel Messi kembali ke dalam pasukan selepas digantung kerana komen keterlaluan beliau ke atas pengadil dalam Copa America.
Walaupun gagal menyempurnakan penalti, Messi berjaya melakukan susulan yang menewaskan Alisson. Albiceleste menang 1-0 dan menjulang trofi Superclasico.
Ketika sedang rancak di atas padang Lionel Messi turut mengarahkan jurulatih Brazil iaitu Tite untuk menutup mulutnya.
Tite yang bengang telah membalas balik dan meminta agar Messi menutup mulutnya.
Seterusnya, Thiago Silva kecewa kerana Lionel Messi menyuruh pengadil memberikan kad kuning kepadanya.
Dan Silva turut merasakan Messi jatuh terlalu mudah untuk mendapatkan sepakan penalti.
Thiago Silva mendapati tindak-tanduk Messi telah mempengaruhi beberapa keputusan pengadil.
“Messi menyepak 2 orang dan pengadil tak berbuat apa-apa. Saya membantah keputusan pengadil, dan Messi memperlekehkannya dengan berterusan ketawa.”
“Messi kelihatan sentiasa cuba mendesak pengadil memberikan sepakan percuma di kawasan bahaya. Beliau memang begitu.”
“Kami pernah bercakap dengan pemain yang bermain di Liga Sepanyol dan mereka juga menyatakan perkara yang sama. Messi akan cuba menguasai perlawanan dan mengawal pengadil.
“Kalau dalam pentas UCL, pengadilan lebih ketat dan Lionel Messi tak ada keistimewaan dan tak dilayan pengadil. Sebab itu dalam UCL beliau tak begitu cuba untuk mempengaruhi pengadil.”
“Untuk beberapa pengadil, mereka melayan Messi istimewa kerana mengagumi beliau dan mulai memberikan kelebihan kepada pasukan beliau.”
“Kami tiada Neymar dalam pasukan dan itu pun satu kekurangan untuk pasukan kami.”
Thiago Silva kemudian menyatakan kekecewaannya kepada sikap Messi yang biadap kepada jurulatih Brazil.
“Sukar untuk nak faham apabila kita bercakap tentang respect dalam padang. Dan salah seorang pemain yang disanjungi di dunia ini bersikap seperti itu.”
“Kamu tak akan melakukan perkara itu kepada orang yang lebih tua daripada kamu, namun jurulatih kami menjadi mangsa kebiadapan Lionel Messi. Walaupun kita tahu perseteruan ini panas namun respect kena diutamakan.”
Comments